Pada awal tahun 2001, Tn Hj Mustafa, Penolong Pegawai PPD Gombak menghubungi saya secara peribadi. Saya mengenali beliau kerana beliau pernah bertugas sebagai Penolong Kanan di SMKBG semasa zaman Tn Hj Zainal Abidin menjadi pengetua.
SMK Bukit Rahman Putra akan dibuka pada tahun berkenaan. Saya diminta bertugas di sana kerana pada pandangan beliau, biarlah sekurang-kurangnya ada seorang ustaz di sana.
Saya menerima tanggungjawab berkenaan.
Cabaran berada di sekolah yang baru dibuka agak berbeza. Kami menumpang di SK Bukit Rahman Putra. Bangunan SMKBRP hanya siap pada tahun berikutnya. Bilangan guru terhad. Setiap guru menjalankan dua tiga portfolio. Saya memandang perkara ini sebagai peluang untuk menambah pengalaman.
Di SMKBRP, selain Pendidikan Islam, saya juga mengajar PJK. Satu petang, seorang murid kelas PJK saya terjatuh dan patah tangan. Saya membawanya ke Hospital Sg. Buloh dan menghantarnya ke rumah apabila semuanya selesai. Kagum benar saya dengan pelajar berkenaan, juga keluarganya. Semasa pembantu pegawai kesihatan membetulkan tulang tangannya sebelum disimen, langsung dia tidak menangis, mahupun menjerit. Sedangkan proses itu amat-amat menyakitkan. Mula-mula tangan kita ditarik, kemudian dipusing-pusing, supaya tulang tadi betul-betul masuk bercantum di tempatnya. Setelah itu barulah disimen.
Ibu bapa pelajar itu pula, apabila saya sampai ke rumah mereka, menerima keadaan itu seakan-akan kecederaan kecil sahaja. Memang hebat anak-anak kampung ini.
Di SMKBRP, saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Sukan. S/U Sukan: Cikgu Ahmad Bustamam. Saya belajar menguruskan kejohanan sukan daripada beliau. Saya juga terlibat menguruskan Kejohanan Hoki MSSD Gombak pada tahun berkenaan, yang diadakan di Stadium Hoki Petaling Jaya.
Saya di SMKBRP tidak lama. Hanya setahun. Saya berpindah ke SBPI Rawang, Bandar Tasik Puteri pada pertengahan 2002.
No comments:
Post a Comment