Tuesday, February 24, 2009

Hayya bil 'Arabiah


Di SEPINTAR, seperti sebelumnya, saya menerima tanggungjawab sebagai Ketua Panitia Bahasa Arab.

Tanggungjawab terhadap BA mula berkembang ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan:

  1. Kakitangan Sumber BA Daerah Gombak,
  2. Kakitangan Sumber BA Negeri Selangor,
  3. Panel Penggubal Modul P&P Bahasa Arab peringkat Kebangsaan di bawah JAPIM, KPM.

Alhamdulillah, saya bahagia berbakti kepada ummah dalam Bahasa Arab.

Monday, February 23, 2009

Kuliah Sirah

Kami menyusun jadual kuliah untuk murid-murid SEPINTAR.

Us. Fathur Rahman mengajar Fiqh setiap Isnin malam Selasa.

Us. Kamilen menyampaikan kuliah umum setiap Rabu malam Khamis.

Us. Qosim, Us. Wan Hamiluddin, Us. Nazri juga ada jadual masing-masing.

Saya menyampaikan kuliah sirah setiap subuh hari Ahad.

Pengetua kami, Us. Fathur Rahman juga memulakan budaya setiap kali lepas subuh, kami semua akan membaca 1 mukasurat Al-Quran bersama terjemahannya. Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lebih 3 tahun, kami khatam.

Dengan pendekatan ini, anak-anak murid kami terdidik dengan Al-Quran. Hari mereka bermula dengan Al-Quran. 

Semoga Allah mengurniakan pahala dan rezeki berpanjangan kepada Us. Fathur Rahman.

Khatib Jumaat dan Penulis Khutbah


Apabila sekolah dibuka, Pengetua telah memohon kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan Solat Jumaat di surau sekolah (kemudian dinamakan Masjid Al-Qadisiah). Kebetulan pula belum ada masjid, mahupun surau Jumaat di Bandar Tasik Puteri. Kami tiada bas untuk mengangkut pelajar ke Masjid Batu Arang. Pada hari Jumaat pertama, semua kereta guru digunakan untuk mengangkut pelajar ke sana, yang jaraknya 15 km dari sekolah.

Atas hubungan baik Us. Fathur Rahman dengan Pengarah JAIS, alhamdulillah kebenaran itu kami perolehi dengan cepat. Pada minggu kedua, solat Jumaat telah boleh didirikan di Al-Qadisiah. Penduduk BTP tumpang bersyukur, kerana tidak perlu lagi ke Batu Arang.

Di mimbar Al-Qadisiah, saya menimba pengalaman sebagai khatib Jumaat. Pada awalnya, kami bergilir-gilir bertiga, Us. Fathur Rahman, Us. Kamilen, saya. Apabila bertambah ustaz-ustaz baru, giliran membaca khutbah diperluaskan.

Uniknya di masjid kami, khutbah ditulis sendiri. Pengalaman itu sememangnya sukar dicari, memandangkan khutbah sekarang disediakan oleh Jabatan/Majlis Agama.

Lencana Sepintar



Sekolah baru. Perlu ada lencana. Saya bersyukur kerana diberi ilham dan peluang untuk merekabentuk lencana SBPI Rawang (SEPINTAR).

Warna lencana diasaskan atas warna SBP; merah, biru dan kuning.

Lencana SBPI Rawang berbentuk empat segi sama dan dikelilingi bulatan bertulisan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang. Segiempat sama di tengah lencana terbahagi kepada 4 komponen yang menggambarkan grafik disket, glob, tulisan arab "lirrab" (untuk Tuhan) dan "linnas" (untuk manusia). Tahun penubuhan sekolah tertera di bahagian bawah lencana.

Komponen disket juga menggambarkan grafik huruf "nun". Huruf "nun" adalah permulaan surah al-Qalam (bermaksud Pena), iaitu surah ke-67 dalam al-Quran. Dalam surah ini, Allah S.W.T. telah bersumpah dengan "pena dan tulisan" yang menjadi lambang ilmu pengetahuan dan kemajuan. (Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

Semoga pelajar yang dilahirkan oleh SEPINTAR sebegitu hendaknya, amiiinn...

Monday, February 16, 2009

Warden Asrama


Sekolah berasrama. Perlukan warden. 

Saya satu-satunya guru lelaki, selain Pengetua, Ustaz Mohd Fathur Rahman bin Kasdiran dan Penolong Kanan, Ustaz Kamilen bin Marzoki. Pengetua meminta saya menjadi warden. 

"Sami'na wa ato'na" - Kami dengar dan kami patuh..

Menjadi warden bermakna saya perlu berpindah masuk ke kawasan asrama. Sedangkan rumah saya di Bandar Tasik Puteri, baru beberapa bulan sahaja diduduki.

Alhamdulillah, kerana saya memiliki keluarga yang amat memahami.

Satu Sekolah, Tiga Nama...


Asalnya SBPI Rawang dinamakan SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) Rawang. Di bawah tadbir urus Sektor Pendidikan Islam dan Moral JPN Selangor.

Setelah itu, JAPIM KPM mengambil alih. Nama sekolah bertukar kepada SMAP (Sekolah Menengah Agama Persekutuan) Rawang.

Akhirnya, sekolah ini diambil alih oleh Sektor Sekolah Berasrama Penuh, Bahagian Sekolah KPM. Bertukarlah namanya kepada SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) Rawang.

SBPI Rawang adalah sekolah pertama yang membawa jenama SBPI. 

Bandar Tasik Puteri


Bandar Tasik Puteri adalah sebuah perbandaran baru yang terletak antara pekan Rawang dan Batu Arang. Saya membeli sebuah rumah di sana.

Saya berulang dari rumah ke SMKBRP yang jaraknya 25km.

Setiap kali berulang-alik, saya akan melalui sebuah bangunan sekolah yang sedang dibina; SMKA Rawang.

Memang menjadi impian saya untuk mengajar Bahasa Arab semula, terutamanya di SMKA. Awal belajar sayapun di SMKA; SMKA Sultan Azlan Shah. Saya adalah murid sulung sekolah berkenaan. Semasa itu kami menumpang di SMK Gunung Rapat, sebelum berpindah ke tapak barunya di Bandar Seri Iskandar, Bota, Perak.

Alhamdulillah, impian saya untuk mencurah bakti di SMKA tercapai. Saya menjadi salah seorang guru yang mula-mula membuka sekolah berkenaan. Kami menerima murid pertama kami pada tanggal 2 Jun 2002.


Pindah Sekolah


Pada awal tahun 2001, Tn Hj Mustafa, Penolong Pegawai PPD Gombak menghubungi saya secara peribadi. Saya mengenali beliau kerana beliau pernah bertugas sebagai Penolong Kanan di SMKBG semasa zaman Tn Hj Zainal Abidin menjadi pengetua.
SMK Bukit Rahman Putra akan dibuka pada tahun berkenaan. Saya diminta bertugas di sana kerana pada pandangan beliau, biarlah sekurang-kurangnya ada seorang ustaz di sana.
Saya menerima tanggungjawab berkenaan.
Cabaran berada di sekolah yang baru dibuka agak berbeza. Kami menumpang di SK Bukit Rahman Putra. Bangunan SMKBRP hanya siap pada tahun berikutnya. Bilangan guru terhad. Setiap guru menjalankan dua tiga portfolio. Saya memandang perkara ini sebagai peluang untuk menambah pengalaman.
Di SMKBRP, selain Pendidikan Islam,  saya juga mengajar PJK. Satu petang, seorang murid kelas PJK saya terjatuh dan patah tangan. Saya membawanya ke Hospital Sg. Buloh dan menghantarnya ke rumah apabila semuanya selesai. Kagum benar saya dengan pelajar berkenaan, juga keluarganya. Semasa pembantu pegawai kesihatan membetulkan tulang tangannya sebelum disimen, langsung dia tidak menangis, mahupun menjerit. Sedangkan proses itu amat-amat menyakitkan. Mula-mula tangan kita ditarik, kemudian dipusing-pusing, supaya tulang tadi betul-betul masuk bercantum di tempatnya. Setelah itu barulah disimen.
Ibu bapa pelajar itu pula, apabila saya sampai ke rumah mereka, menerima keadaan itu seakan-akan kecederaan kecil sahaja. Memang hebat anak-anak kampung ini.
Di SMKBRP, saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Sukan. S/U Sukan: Cikgu Ahmad Bustamam. Saya belajar menguruskan kejohanan sukan daripada beliau. Saya juga terlibat menguruskan Kejohanan Hoki MSSD Gombak pada tahun berkenaan, yang diadakan di Stadium Hoki Petaling Jaya.
Saya di SMKBRP tidak lama. Hanya setahun. Saya berpindah ke SBPI Rawang, Bandar Tasik Puteri pada pertengahan 2002.

Tuesday, February 10, 2009

Ketua Panitia Bahasa Arab


Saya diberi tugas sebagai Ketua Panitia Bahasa Arab Komunikasi di SMK Bukit Gading. Kelas BAK di SMKBG dikategorikan sebagai Kelas Aliran Agama (KAA). Satu kelas sahaja bagi setiap Tingkatan Satu hingga Tiga.

Alhamdulillah, pada tahun kedua saya di SMKBG, peratus kelulusan BAK telah meningkat kepada 95.3% berbanding 53.4% pada tahun sebelumnya. Komitmen untuk memartabatkan BAK di SMKBG telah diteruskan lagi dengan kehadiran Ustazah Hasimah Harun ke SBKBG. Ustazah Hasimah telah berjaya membantu pelajar BAK mencapai 100% kelulusan. 

Tahniah ustazah Hasimah!

Juara Perseorangan Ping Pong PSKPP Gombak


Semasa di SMKBG, saya sempat bertanding dalam Kejohanan Ping Pong PSKPP (Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan) peringkat daerah Gombak. Pertandingan diadakan di SMK Bandar Baru Sg. Buloh.

Alhamdulillah saya menjuarai kategori perseorangan lelaki. (Mungkin kerana tak ramai peserta...)

Seterusnya saya diserap dalam pasukan PSKPP Gombak. Tahun itu PSKPP negeri dijalankan di SMT Kajang. Perlawanan pertama kami menentang pasukan "favorite"; Klang.

Bungkus.

Ping Pong PSKPP dikuasai oleh dua daerah; Petaling dan Klang.

Jika ditanya mengenai pencapaian saya dalam sukan ini, jawapannya: mewakili Daerah Gombak dalam kejohanan Ping Pong PSKPP Peringkat Negeri Selangor.

Kuliah Maghrib


Semasa tinggal di Kuang (menyewa rumah Kak Long; sampai sekarang kami menziarahi mereka), saya menjadi ahli jemaah masjid Kg Gombak.

Setiap Ahad malam Isnin, antara maghrib dengan isyak, saya akan membacakan kitab "rijalun haular-rasul" tulisan ustaz Khalid Muhammad Khalid. Kisah para sahabat Rasulullah S.A.W.

Ini adalah sebagai khidmat saya kepada masyarakat.

Semoga Allah menerimanya sebagai saham akhirat. Amin

Monday, February 9, 2009

Latihan Pasukan Ping Pong


Ping pong bukanlah sukan yang popular di SMKBG. Kami hanya ada sebuah meja. Berlatih di kantin terbuka. Angin menjadi halangan besar kami.

Fong Poh Yuen dan Tan Mei Li tinggal di pekan kecil Kuang. Pengangkutan bas (bas warna merah Syarikat Selangor) untuk ke sekolah memang terhad.

Hendak seribu daya. Kami mencari penyelesaian bersama.

Poh Yuen mencadangkan agar kami memohon daripada Guru Besar SJK(C) Kuang untuk berlatih di sana. Di sana ada meja. Tempat khas walaupun kecil. Rezeki kami. Guru Besar berkenaan memberi lampu hijau.

Poh Yuen dan Mei Li tak perlu naik bas lagi. Saya pergi ke sekolah berkenaan dengan motorsikal. Tak ingat berapa hari kami berlatih setiap minggu.

Ada murid lain yang main ping pong? Ada... Ada yang sekomited Poh Yuen dan Mei Li? Maaf.. Tiada...

Mula Kerja





Kerjaya saya bermula pada 2 Mei 1995. Saya melapor diri di SMK Bukit Gading, Sg. Plong, Sg. Buloh, Selangor Darul Ehsan. 

Antara tugas utama saya di SMKBG:
  1. Guru Bahasa Arab Komunikasi
  2. Ketua Panitia Bahasa Arab Komunikasi
  3. Guru Penasihat kelab Ping Pong
Alhamdulillah, selepas 2 tahun saya di sana, Bahasa Arab Komunikasi telah meningkat peratus lulus PMR daripada 53% kepada 95.3%.

Pasukan ping pong kami buat pertama kali menyertai pertandingan peringkat daerah Gombak. Dua daripada pemain SMKBG, Tan Mei Li dan Fong Poh Yuen, berjaya menjuarai kategori beregu perempuan bawah 15 tahun. Mereka seterusnya mewakili Gombak dalam MSS Selangor selama 3 tahun berturut-turut.

Di SMKBG, saya sempat bertugas di bawah kepimpinan 3 orang pengetua; Tn Hj Zainal Abidin, Pn Rozanun dan Pn Hanim Ibrahim (Sekarang Ketua Sektor di JPN Selangor).

Saya berkhidmat di sekolah ini selama 5 tahun.