Sunday, March 1, 2009

Naib Johan Berpasukan MSSD Gombak


Penyertaan kami dalam Kejohanan memanah MSSD Gombak merupakan satu kejutan untuk Gombak.

Sepintar muncul sebagai Naib Johan Berpasukan keseluruhan. Sayuti menjadi tumpuan kerana berjaya menggondol 1 pingat emas, 2 perak dan 1 gangsa. 

Dalam kejohanan MSS Selangor, saya dilantik sebagai salah seorang jurulatih untuk pasukan Gombak.

Sayuti juga terpilih.

Dalam masa yang sama, saya menimba pengalaman daripada rakan-rakan jurulatih memanah Gombak, khasnya cikgu Mazlan dari SMK Gombak Setia. Beliau pakar statistik memanah dan juga pakar tuning bow.

Mengasaskan Pasukan Memanah SEPINTAR


Kursus telah dikuti. Tekad di hati untuk menubuhkan pasukan memanah di SEPINTAR. Ada tiga elemen utama yang perlu diperhalusi:

Guru  : Mesti berminat.
Murid : Mesti berminat.
Peralatan : Perlu ada

Pengetahuan teknikal? Memang penting. Semua ini akan muncul bila ada minat.

Alhamdulillah, saya gurunya. Amat berminat. 

Murid? Seorang pelajar saya, Mohd Sayuti Mohamad (sekarang sedang mengambil jurusan kedoktoran di Mesir) baru masuk tingkatan 4 dari SMK Tun Saban. Dia ada kemahiran memanah. Pemanah MSSM Perak! Satu bonus! 

Peralatan? Ini cabaran besar. Sekolah baru. Tiada peruntukan. Lagipun sanggupkah pengetua membenarkan menggunakan peruntukan PJK atau Koku untuk membeli peralatan memanah? Tapi bila minat sudah ada, jalan akan tetap ada. Saya buat kertas kerja memohon peruntukan PIBG.

Bukan permohonan kosong. Saya merancang untuk membuat projek memungut dana kokurikulum, khasnya memanah. Nanti akan diceritakan projek Konsert Amal Jalinan Kasih Sepintar.

Alhamdulillah, ada peruntukan untuk beli peralatan memanah. Saya beli 4 set basic wooden bow dengan 1 target.

Daripada situ, pasukan memanah Sepintar ditubuhkan. Penyertaan pertama kami: Kejohanan Memanah MSSD Gombak.

Kursus Memanah


Minat saya terhadap sukan memanah timbul selepas saya menghadiri Kursus Memanah anjuran bersama  MSS Selangor, Persatuan Memanah Selangor dan Maktab Perguruan Islam (sekarang 
Institut Perguruan Islam) pada penghujung tahun 2003.

Format kursus sememangnya patut dipuji. Kami ada sesi teori dan praktikal.  Pada akhir kursus pula, ada penilaian bertulis dan juga pertandingan kecil antara sesama peserta kursus. Yang seronoknya, saya menjuarai pertandingan tersebut, Alhamdulillah.

Saya ingin dedikasikan beberapa nama penting yang menjayakan kursus ini: En Mohd Fuzi (Jurulatih Memanah Paralimpik Malaysia), En Noor Izan Khalid (dikenali Cikgu Yob), En Thiyagarajan, En Mazlan, En Ruben dan En Poobalan.

Bermula daripada situ, saya berazam untuk menubuhkan pasukan memanah di SEPINTAR.

 

Tuesday, February 24, 2009

Hayya bil 'Arabiah


Di SEPINTAR, seperti sebelumnya, saya menerima tanggungjawab sebagai Ketua Panitia Bahasa Arab.

Tanggungjawab terhadap BA mula berkembang ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan:

  1. Kakitangan Sumber BA Daerah Gombak,
  2. Kakitangan Sumber BA Negeri Selangor,
  3. Panel Penggubal Modul P&P Bahasa Arab peringkat Kebangsaan di bawah JAPIM, KPM.

Alhamdulillah, saya bahagia berbakti kepada ummah dalam Bahasa Arab.

Monday, February 23, 2009

Kuliah Sirah

Kami menyusun jadual kuliah untuk murid-murid SEPINTAR.

Us. Fathur Rahman mengajar Fiqh setiap Isnin malam Selasa.

Us. Kamilen menyampaikan kuliah umum setiap Rabu malam Khamis.

Us. Qosim, Us. Wan Hamiluddin, Us. Nazri juga ada jadual masing-masing.

Saya menyampaikan kuliah sirah setiap subuh hari Ahad.

Pengetua kami, Us. Fathur Rahman juga memulakan budaya setiap kali lepas subuh, kami semua akan membaca 1 mukasurat Al-Quran bersama terjemahannya. Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lebih 3 tahun, kami khatam.

Dengan pendekatan ini, anak-anak murid kami terdidik dengan Al-Quran. Hari mereka bermula dengan Al-Quran. 

Semoga Allah mengurniakan pahala dan rezeki berpanjangan kepada Us. Fathur Rahman.

Khatib Jumaat dan Penulis Khutbah


Apabila sekolah dibuka, Pengetua telah memohon kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan Solat Jumaat di surau sekolah (kemudian dinamakan Masjid Al-Qadisiah). Kebetulan pula belum ada masjid, mahupun surau Jumaat di Bandar Tasik Puteri. Kami tiada bas untuk mengangkut pelajar ke Masjid Batu Arang. Pada hari Jumaat pertama, semua kereta guru digunakan untuk mengangkut pelajar ke sana, yang jaraknya 15 km dari sekolah.

Atas hubungan baik Us. Fathur Rahman dengan Pengarah JAIS, alhamdulillah kebenaran itu kami perolehi dengan cepat. Pada minggu kedua, solat Jumaat telah boleh didirikan di Al-Qadisiah. Penduduk BTP tumpang bersyukur, kerana tidak perlu lagi ke Batu Arang.

Di mimbar Al-Qadisiah, saya menimba pengalaman sebagai khatib Jumaat. Pada awalnya, kami bergilir-gilir bertiga, Us. Fathur Rahman, Us. Kamilen, saya. Apabila bertambah ustaz-ustaz baru, giliran membaca khutbah diperluaskan.

Uniknya di masjid kami, khutbah ditulis sendiri. Pengalaman itu sememangnya sukar dicari, memandangkan khutbah sekarang disediakan oleh Jabatan/Majlis Agama.

Lencana Sepintar



Sekolah baru. Perlu ada lencana. Saya bersyukur kerana diberi ilham dan peluang untuk merekabentuk lencana SBPI Rawang (SEPINTAR).

Warna lencana diasaskan atas warna SBP; merah, biru dan kuning.

Lencana SBPI Rawang berbentuk empat segi sama dan dikelilingi bulatan bertulisan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang. Segiempat sama di tengah lencana terbahagi kepada 4 komponen yang menggambarkan grafik disket, glob, tulisan arab "lirrab" (untuk Tuhan) dan "linnas" (untuk manusia). Tahun penubuhan sekolah tertera di bahagian bawah lencana.

Komponen disket juga menggambarkan grafik huruf "nun". Huruf "nun" adalah permulaan surah al-Qalam (bermaksud Pena), iaitu surah ke-67 dalam al-Quran. Dalam surah ini, Allah S.W.T. telah bersumpah dengan "pena dan tulisan" yang menjadi lambang ilmu pengetahuan dan kemajuan. (Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

Semoga pelajar yang dilahirkan oleh SEPINTAR sebegitu hendaknya, amiiinn...