Tuesday, February 24, 2009

Hayya bil 'Arabiah


Di SEPINTAR, seperti sebelumnya, saya menerima tanggungjawab sebagai Ketua Panitia Bahasa Arab.

Tanggungjawab terhadap BA mula berkembang ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan:

  1. Kakitangan Sumber BA Daerah Gombak,
  2. Kakitangan Sumber BA Negeri Selangor,
  3. Panel Penggubal Modul P&P Bahasa Arab peringkat Kebangsaan di bawah JAPIM, KPM.

Alhamdulillah, saya bahagia berbakti kepada ummah dalam Bahasa Arab.

Monday, February 23, 2009

Kuliah Sirah

Kami menyusun jadual kuliah untuk murid-murid SEPINTAR.

Us. Fathur Rahman mengajar Fiqh setiap Isnin malam Selasa.

Us. Kamilen menyampaikan kuliah umum setiap Rabu malam Khamis.

Us. Qosim, Us. Wan Hamiluddin, Us. Nazri juga ada jadual masing-masing.

Saya menyampaikan kuliah sirah setiap subuh hari Ahad.

Pengetua kami, Us. Fathur Rahman juga memulakan budaya setiap kali lepas subuh, kami semua akan membaca 1 mukasurat Al-Quran bersama terjemahannya. Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lebih 3 tahun, kami khatam.

Dengan pendekatan ini, anak-anak murid kami terdidik dengan Al-Quran. Hari mereka bermula dengan Al-Quran. 

Semoga Allah mengurniakan pahala dan rezeki berpanjangan kepada Us. Fathur Rahman.

Khatib Jumaat dan Penulis Khutbah


Apabila sekolah dibuka, Pengetua telah memohon kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan Solat Jumaat di surau sekolah (kemudian dinamakan Masjid Al-Qadisiah). Kebetulan pula belum ada masjid, mahupun surau Jumaat di Bandar Tasik Puteri. Kami tiada bas untuk mengangkut pelajar ke Masjid Batu Arang. Pada hari Jumaat pertama, semua kereta guru digunakan untuk mengangkut pelajar ke sana, yang jaraknya 15 km dari sekolah.

Atas hubungan baik Us. Fathur Rahman dengan Pengarah JAIS, alhamdulillah kebenaran itu kami perolehi dengan cepat. Pada minggu kedua, solat Jumaat telah boleh didirikan di Al-Qadisiah. Penduduk BTP tumpang bersyukur, kerana tidak perlu lagi ke Batu Arang.

Di mimbar Al-Qadisiah, saya menimba pengalaman sebagai khatib Jumaat. Pada awalnya, kami bergilir-gilir bertiga, Us. Fathur Rahman, Us. Kamilen, saya. Apabila bertambah ustaz-ustaz baru, giliran membaca khutbah diperluaskan.

Uniknya di masjid kami, khutbah ditulis sendiri. Pengalaman itu sememangnya sukar dicari, memandangkan khutbah sekarang disediakan oleh Jabatan/Majlis Agama.

Lencana Sepintar



Sekolah baru. Perlu ada lencana. Saya bersyukur kerana diberi ilham dan peluang untuk merekabentuk lencana SBPI Rawang (SEPINTAR).

Warna lencana diasaskan atas warna SBP; merah, biru dan kuning.

Lencana SBPI Rawang berbentuk empat segi sama dan dikelilingi bulatan bertulisan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang. Segiempat sama di tengah lencana terbahagi kepada 4 komponen yang menggambarkan grafik disket, glob, tulisan arab "lirrab" (untuk Tuhan) dan "linnas" (untuk manusia). Tahun penubuhan sekolah tertera di bahagian bawah lencana.

Komponen disket juga menggambarkan grafik huruf "nun". Huruf "nun" adalah permulaan surah al-Qalam (bermaksud Pena), iaitu surah ke-67 dalam al-Quran. Dalam surah ini, Allah S.W.T. telah bersumpah dengan "pena dan tulisan" yang menjadi lambang ilmu pengetahuan dan kemajuan. (Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

Semoga pelajar yang dilahirkan oleh SEPINTAR sebegitu hendaknya, amiiinn...

Monday, February 16, 2009

Warden Asrama


Sekolah berasrama. Perlukan warden. 

Saya satu-satunya guru lelaki, selain Pengetua, Ustaz Mohd Fathur Rahman bin Kasdiran dan Penolong Kanan, Ustaz Kamilen bin Marzoki. Pengetua meminta saya menjadi warden. 

"Sami'na wa ato'na" - Kami dengar dan kami patuh..

Menjadi warden bermakna saya perlu berpindah masuk ke kawasan asrama. Sedangkan rumah saya di Bandar Tasik Puteri, baru beberapa bulan sahaja diduduki.

Alhamdulillah, kerana saya memiliki keluarga yang amat memahami.

Satu Sekolah, Tiga Nama...


Asalnya SBPI Rawang dinamakan SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) Rawang. Di bawah tadbir urus Sektor Pendidikan Islam dan Moral JPN Selangor.

Setelah itu, JAPIM KPM mengambil alih. Nama sekolah bertukar kepada SMAP (Sekolah Menengah Agama Persekutuan) Rawang.

Akhirnya, sekolah ini diambil alih oleh Sektor Sekolah Berasrama Penuh, Bahagian Sekolah KPM. Bertukarlah namanya kepada SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) Rawang.

SBPI Rawang adalah sekolah pertama yang membawa jenama SBPI. 

Bandar Tasik Puteri


Bandar Tasik Puteri adalah sebuah perbandaran baru yang terletak antara pekan Rawang dan Batu Arang. Saya membeli sebuah rumah di sana.

Saya berulang dari rumah ke SMKBRP yang jaraknya 25km.

Setiap kali berulang-alik, saya akan melalui sebuah bangunan sekolah yang sedang dibina; SMKA Rawang.

Memang menjadi impian saya untuk mengajar Bahasa Arab semula, terutamanya di SMKA. Awal belajar sayapun di SMKA; SMKA Sultan Azlan Shah. Saya adalah murid sulung sekolah berkenaan. Semasa itu kami menumpang di SMK Gunung Rapat, sebelum berpindah ke tapak barunya di Bandar Seri Iskandar, Bota, Perak.

Alhamdulillah, impian saya untuk mencurah bakti di SMKA tercapai. Saya menjadi salah seorang guru yang mula-mula membuka sekolah berkenaan. Kami menerima murid pertama kami pada tanggal 2 Jun 2002.